Sahabat Sejati

Sunday, December 9, 2012

Sejarah Daerah Pekan






Bunga Pekan Berwarna Putih

Menurut pengkaji sejarah, Daerah Pekan telah menjadi ibu Negeri Pahang antara 1686 sehingga 1897 di mana pada ketika itu dikenali sebagai Kerajaan Inderapura. Dalam Bahasa Sanskrit, perkataan ‘pura’ membawa maksud sebagai pekan. Selain menjadi pusat pemerintahan kerajaan, Daerah Pekan ini dahulunya memang terkenal dengan pekan sehari iaitu tempat tumpuan peniaga setiap hari menjalankan pelbagai urus niaga dan jual beli barang dagangan dalam dan luar daerah. Nama Daerah Pekan berasal dari nama sejenis bunga yang dipanggil ‘bunga pekan’ yang banyak tumbuh di tebing-tebing Sungai Pahang satu ketika dahulu. Bunga pekan berwarna putih dan bentuknya seakan-akan bunga melor.
Pada 1454, Sultan Mansur Shah iaitu putera kepada Sultan Muzafar Shah yang memerintah Kerajaan Melaka ketika itu, telah membawa askar-askarnya menyerang Kerajaan Inderapura di Pekan yang diperintah oleh Kerajaan Siam di bawah pemerintahan Maharaja Dewa Sura. Kerajaan Inderapura telah tewas dan Maharaja Dewa Sura melarikan diri ke Ulu Pahang manakala puterinya Wanang Sari dibawa pulang ke Melaka oleh Sultan Mansur Shah, menjadi Islam dan dijadikan isteri baginda.
Seri Bija Di Raja iaitu panglima setia kepada Sultan Mansur Shah yang menumpaskan Kerajaan Inderapura dan menangkap Maharajanya, dikurniakan oleh baginda menjadi pemerintah Jajahan Melayu Melaka di Pekan. Sultan Mansur Shah mempunyai dua orang anak hasil pernikahannya dengan puteri Wanang Sari iaitu Raja Ahmad dan Raja Muhamad. Tetapi Raja Muhamad telah membuatkan baginda sangat murka kerana menikam mati Tun Besar yang tertendang bola sepak raga sehingga terkena dastarnya iaitu pakaian kepala mahkota di raja.
Raja Muhamad telah dibuang daerah sebagai hukuman tetapi kemudiannya menjadi pemerintah kerajaan di Pekan dan digantikan oleh anaknya Sultan Mahmud Shah (1615 hingga 1641) selepas kemangkatannya. Sultan Mahmud Shah telah dibunuh oleh panglimanya sendiri dan mangkat ketika masih berada di atas julang. Kerajaan Johor-Riau di bawah pemerintahan Kerajaan Acheh iaitu Raja Bujang, telah menewaskan Kerajaan Pahang dan selepas kemangkatan baginda, Bendahara Tun Habib Abdul Majid menjadi pemerintah Pahang. Bendahara Wan Ahmad anak kepada Sultan Ali kemudian menggantikannya dan diisytiharkan sebagai Sultan Pahang.
British ketika penaklukan mereka, telah cuba untuk memisahkan kesetiaan rakyat kepada Sultan bermula dengan pembahagian Pekan Baru yang didiami oleh keturunan Cina dan Pekan Lama iaitu pusat pentadbiran kesultanan Pahang yang dipisahkan oleh parit yang digali ketika pemerintahan Siam dahulu. British kemudiannya memindahkan ibu Negeri Pahang ke Kuala Lipis untuk mengelakkan campur tangan Sultan dalam pentadbiran mereka.

No comments:

Post a Comment